GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Setiap pegawai yang berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menjaga batas penggunaan media sosial bagi mengelakkan sebarang tindakan tata tertib diambil.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata pihaknya memandang serius salah laku dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan pegawai membuat kenyataan tidak wajar.

Katanya, setiap kes yang diadukan atau dikenal pasti sekiranya sabit kesalahan, hukuman tatatertib akan dikenakan berdasarkan kepada peraturan yang berkuatkuasa.

"KKM merujuk kepada edaran pernyataan awam yang tersebar dalam media sosial mengenai pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya ditulis oleh petugas kesihatan KKM.

"Selaras dengan prinsip perkhidmatan dan peraturan berkaitan tatatertib, setiap penjawat awam ditegah untuk membuat pernyataan yang secara langsung atau tidak langsung menyentuh pelaksanaan dasar awam, program dan keputusan kerajaan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran.

"Pernyataan yang tidak wajar dan dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja menjejaskan imej pegawai sebagai penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan dalam masyarakat serta menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam dan kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shafiq berkata, peraturan berkaitan dengan etika dan tata kelakuan dalam perkhidmatan awam menggunakan media sosial serta tegahan membuat penyataan itu bukan bertujuan menghalang mana-mana pegawai untuk bersuara.

"Tetapi ia lebih kepada memastikan pegawai menggunakan saluran maklumbalas dan aduan yang betul serta menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam dan kerajaan," katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan jenis pernyataan atau pegawai mana yang dimaksudkannya.

Sebelum ini, beberapa pegawai yang didakwa berkhidmat dengan KKM dilihat memuat naik status berkaitan isu 'potong barisan' yang dilakukan oleh beberapa individu untuk mendapatkan suntikan vaksin sebelum petugas barisan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 3:21 PM