GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman hari ini mengingatkan semua penjawat awam supaya melengkapkan vaksinasi Covid-19 masing-masing sebelum 1 November ini.

Berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara maya hari ini, Mohd Khairul Adib berkata, ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil berbanding majoriti yang sudah melengkapkan vaksinasi mereka.

Namun, katanya keengganan kelompok kecil itu tetap memberi implikasi terhadap program vaksinasi kerajaan dan menggambarkan imej negatif penjawat awam secara keseluruhan, selain menjejaskan penyampaian perkhidmatan.

"Penjawat awam seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab dalam menyokong usaha kerajaan dan memberi keyakinan kepada orang ramai tentang keberkesanan program vaksinasi yang dijalankan," katanya.

Mohd Khairul Adib pada majlis itu turut mengingatkan bahawa semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].

Dalam satu pekeliling dinyatakan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang gagal melengkapkan imunisasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan apabila dasar baharu berhubung imunisasi membabitkan penjawat awam dilaksanakan mulai 1 November ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 22,214,490 atau 94.9 peratus kadar populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 setakat jam 11.59 malam pada 27 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:13 PM