ALEXANDER NANTA LINGGI
ALEXANDER NANTA LINGGI
BERNAMA

Kuantan: Penggunaan teknologi mesin 'retort' bagi meningkatkan jangka hayat makanan akan mula dilaksanakan tahun ini, bagi menggalakkan sumbangan makanan dalam kalangan industri di bawah Akta Perlindungan Penderma Makanan 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek rintis penggunaan mesin itu akan bermula di Hotel Seri Malaysia di Perlis dan Hotel Primula, Terengganu.

"Teknologi ini membolehkan lebihan makanan yang masih baik dan belum disentuh daripada industri perhotelan, dikumpul dan diproses menggunakan teknologi retort sebelum diagih kepada penerima kumpulan sasar.

"Penggabungan akta dan teknologi ini serta sambutan daripada pihak industri diharapkan dapat merealisasikan objektif pembaziran makanan sifar #ZEROFOODWASTE, pada masa akan datang selain dilestarikan sebagai budaya hidup rakyat," katanya.

Nanta berkata demikian menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sempena Program Penyampaian Bantuan Tanggungjawab Sosial Korporat Syarikat Terpilih, kepada 200 keluarga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Sungai Koyan 2, Lipis kira-kira 337 kilometer dari sini, hari ini.

Untuk rekod, Akta Perlindungan Penderma Makanan 2020 yang diwartakan pada 13 Mac 2020 bertujuan, menggalakkan sumbangan makanan kepada golongan yang memerlukan, dengan meredakan kebimbangan penderma, terutamanya pihak industri terhadap risiko tindakan undang-undang, jika berlaku perkara tidak diingini.

Mengulas mengenai program hari ini, Nanta berkata, KPDNHEP mewakili syarikat terbabit menyampaikan bantuan seperti makanan kering, bahan masakan dan minuman, yang sedikit sebanyak diharap membantu kelangsungan hidup mereka yang terkesan, akibat bencana banjir awal tahun ini dan pandemik Covid-19.

Antara syarikat itu ialah Mamee-Double Decker Distribution (M) Sdn Bhd, Gentle Supreme Sdn Bhd, Crispo-Tato Sdn Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, Morris Food Industries Sdn Bhd, Central Sugars Refinery Sdn Bhd, Legasi Z Sufi Group of Companies, Indadi Utama (M) Sdn Bhd dan Vinda Group SEA.

"Kementerian amat mengalu-alukan penglibatan pemain industri peruncitan dan pengedaraan, serta ingin mengajak lebih ramai menyertai program menyantuni rakyat menerusi pelbagai platform disediakan kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 5:20 PM