LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
BERNAMA

Kuala Lumpur: Anak syarikat pengilangan tepung dan makanan haiwan PPB Group Bhd, FFM Bhd akan berunding dengan penasihat undang-undang luarnya untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mengenakan penalti sebanyak RM42.69 juta bagi pelanggaran pelanggaran akta penetapan harga.

Menurut kumpulan itu, FFM berpandangan bahawa keputusan itu adalah tidak bermerit.

"Ia akan berunding dengan penasihat undang-undang luarnya mengenai tindakan sesuai yang akan diambil untuk mencabar keputusan itu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Terdahulu dalam kenyataan hari ini, MyCC menjelaskan ia mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.

Menurut MyCC, syarikat itu adalah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd, FFM Bhd, Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.

MyCC memaklumkan siasatannya mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa antara perusahaan-perusahaan terbabit di antara Januari 2020 hingga Jun 2022 selain mendapati lima perusahaan itu menggunakan strategi dengan menyatakan kenaikan kos makanan ayam disebabkan peningkatan perbelanjaan bahan mentah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 11:39 PM