OSMAN menunjukkan cara mengendalikan mesin teknologi retort.
OSMAN menunjukkan cara mengendalikan mesin teknologi retort.
Roselan Ab Malek


SEJAK akhir-akhir ini, muncul ramai usahawan wanita yang menceburkan diri dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan makanan, baik kuih-muih, lauk-pauk mahupun minuman.

Namun, ada beberapa masalah yang biasa dihadapi antaranya produk makanan tidak dapat bertahan lama menyebabkan kerugian kepada peniaga.

Menyedari masalah itu, kini ramai usahawan wanita mula mempelajari teknik baharu dalam penyediaan produk iaitu teknologi retort atau penstrilan supaya produk yang dihasilkan mampu bertahan sehingga dua tahun tanpa menjejaskan struktur dan rasanya.

Teknologi retort mungkin baharu di negara ini, tetapi ia sudah lama digunakan tentera Amerika Syarikat dalam medan pertempuran sejak 1950-an.

Malah di Jepun, teknologi pek atau bungkusan retort turut diterima secara meluas dan terdapat pelbagai jenis produk di jual atas rak dari makanan yang dipanggang hingga sajian sup.

Bungkusan retort adalah kaedah pembungkusan makanan dicipta dengan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan berlamina fleksibel.

Teknologi berkenaan membenarkan pensterilan pelbagai makanan dan minuman, ia dianggap aspek yang paling penting dalam pembungkusan makanan.

Justeru, menyedari keperluan yang ada, Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) membuka peluang kepada usahawan yang berminat untuk mempelajari teknologi berkenaan bagi memastikan produk mereka mampu bertahan dua tahun dengan pasaran lebih luas.

Pengawai Keusahawanan KKJ, Osman Zolkifli berkata, usahawan didedahkan dengan teknologi retort bermula dari asas sehingga mampu mengeluarkan sendiri produk mereka.

Katanya, permintaan pengguna terhadap makanan sedia dimakan (ready to eat) atau makanan segera semakin meningkat dan ia adalah peluang yang terbuka luas untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Kami akan bimbing mereka melalui kursus dan latihan kepada pengusaha IKS, restoran, belia, suri rumah dan komuniti dalam menghasilkan produk makanan untuk dipasarkan dengan teknologi retort.

"KKJ dipilih menjadi pusat rujukan latihan dan teknologi retort untuk Wilayah Timur di mana kami menyediakan kursus serta latihan teknologi retort makanan selain menyediakan servis retort kepada pengusaha IKS," katanya.

Menurut Osman lagi, menerusi penggunaan teknologi mesin pembungkusan retort ia dapat meningkatkan jangka hayat makanan.

"Produk dipanaskan pada suhu pensterilan dalam beberapa minit bertujuan menghapuskan bakteria dalam makanan dan menghalang ia daripada rosak.

"Berbanding produk dalam tin, masa memasak dapat dikurangkan antara 30 hingga 50 peratus.

"Pada masa sama nutrisi makanan dapat dikekalkan, malah rasanya juga lebih enak dan berkualiti," katanya.

Osman berkata, bagi modul keusahawanan, peserta didedahkan dengan strategi dan idea perniagaan yang merangkumi pengenalan keusahawanan, garis panduan pendaftaran perniagaan, idea perniagaan dan peluang membangunkan idea produk.

Untuk modul teknikal pula, peserta mempelajari berkenaan pemprosesan termal makanan yang merangkumi aspek komposisi makanan, kerosakan makanan, definisi pemprosesan termal makanan dan pengawetan makanan.

"Peserta turut mempelajari secara mendalam mengenai teknologi retort atau penstrilan produk makanan yang merangkumi aspek definisi, teknologi dan proses retort, senarai mesin, peralatan dan kelengkapan yang diperlukan.

"Selain itu, peserta juga akan mempelajari tatacara penggunaan mesin, peralatan dan kelengkapan dalam pemprosesan retort," katanya.

Tambah Osman lagi, melalui pendedahan itu peserta mendapat ilmu pengetahuan, kemahiran dan panduan berguna dalam pemprosesan serta penstrilan produk makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:44 AM