Ketua Pegawai Kesihatan Kawasan Cheras, Dr Noriah Hajib yang melakukan tinjauan bersama 15 anggota di LRT Laluan Ampang/Sri Petaling memberi penerangan dan kempen kesedaran kepada penumpang ketika di dalam tren dan di stesen Cheras, Bandar Tun Razak dan Bandar Tasik Selatan. FOTO Ihsan Rapid Rail
Ketua Pegawai Kesihatan Kawasan Cheras, Dr Noriah Hajib yang melakukan tinjauan bersama 15 anggota di LRT Laluan Ampang/Sri Petaling memberi penerangan dan kempen kesedaran kepada penumpang ketika di dalam tren dan di stesen Cheras, Bandar Tun Razak dan Bandar Tasik Selatan. FOTO Ihsan Rapid Rail
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Delegasi pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 di kalangan pengguna perkhidmatan awam dan langkah pencegahan dilaksanakan di LRT Laluan Ampang/Sri Petaling.

Ketua Pegawai Kesihatan Kawasan Cheras Dr Noriah Hajib yang melakukan tinjauan bersama 15 anggota semalam turut memberi penerangan dan kempen kesedaran kepada penumpang ketika di dalam tren dan di stesen Cheras, Bandar Tun Razak dan Bandar Tasik Selatan.

Ketua Operasi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling Harman Hamzah berkata, beliau yang mengiringi delegasi itu sepanjang tinjauan turut memberi penerangan kepada Dr Noriah dan anggota pasukannya mengenai langkah pencegahan dilaksanakan oleh pihak pengurusan termasuk mewajibkan anggota memakai pelindung muka ketika bertugas dan berurusan dengan pelanggan.

"Program ini kami jalankan selaras dengan saranan kerajaan dengan slogan #kitajagakita.

"Justeru, pihak operasi Laluan Ampang/Sri Petaling menerima pelawaan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Cheras untuk berkolaborasi membuat sesi kesedaran dan pemeriksaan terhadap penumpang di sekitar daerah Cheras dan juga di dalam tren," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Harman berkata, rata-rata penumpang amat responsif terhadap penerangan diberikan oleh Dr Noriah dan pasukannya di samping patuh keperluan pemakaian pelitup muka dengan kemas dan melaksanakan secara kendiri penjarakan fizikal semasa berada dalam tren.

Beliau berkata, RapidKL akan membuat pemeriksaan berterusan khususnya di waktu puncak bagi memastikan SOP dipatuhi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 2:30 PM