Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan operasi tren LRT dari arah Ampang/Sri Petaling dan Putra Heights akan meneruskan perkhidmatan sehingga ke Stesen Masjid Jamek bermula esok sehingga 16 Februari depan.

Ketua Pegawai Operasi LRT, Rapid Rail, Nor Azmi Mohd Yusof berkata, dengan perubahan pengoperasian ini, penumpang tidak perlu lagi turun di Stesen Hang Tuah bagi tujuan mendapatkan tren perantara untuk ke Stesen Masjid Jamek.

Bagaimanapun katanya, penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya.

"Dalam tempoh yang sama, pihak Rapid Rail akan menjalankan operasi percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya, sebagai persiapan sebelum pembukaan semula laluan ini kepada pengguna.

"Kekerapan tren pada waktu puncak akan dipertingkatkan dengan masa menunggu 3.5 minit bagi daerah pusat perniagaan dan tujuh minit luar daerah pusat perniagaan.

"Pelaksanaan operasi percubaan akhir ini dijalankan sebagai mematuhi piawaian operasi dalam langkah untuk memastikan keselamatan pengguna dan kebolehpercayaan sistem rel," katanya.

PERKHIDMATAN tren LRT dari arah Ampang/Sri Petaling dan Putra Heights akan diteruskan sehingga ke Stesen Masjid Jamek bermula esok sehingga 16 Februari depan. FOTO ihsan Rapid Rail
PERKHIDMATAN tren LRT dari arah Ampang/Sri Petaling dan Putra Heights akan diteruskan sehingga ke Stesen Masjid Jamek bermula esok sehingga 16 Februari depan. FOTO ihsan Rapid Rail

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai operasi percubaan selepas kerja-kerja baik pulih struktur jejambat dan landasan di LRT Hang Tuah.

Sebelum ini laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak 27 Januari 2023 susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Nor Azmi turut memaklumkan, penambahan tren LRT juga akan dibuat bermula esok daripada 24 sebelum ini kepada 31 tren.

Selain itu katanya, pembukaan penuh laluan itu dijangka akan dilaksanakan pada penghujung Februari depan bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Dalam masa sama katanya, kerja-kerja membaik pulih struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen

Bandaraya yang telah selesai sepenuhnya turut membabitkan penukaran beberapa komponen landasan di sekitar kawasan yang terbabit.

"Ia adalah usaha berterusan pihak Rapid Rail dalam memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang.

"Pihak Rapid Rail berharap dengan pembukaan semula laluan ini kelak, ia akan dapat mengembalikan keselesaan pengguna dan jumlah penumpang akan dapat ditingkatkan kerana penumpang tidak perlu lagi menukar tren atau menggunakan khidmat bas perantara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 2:22 PM