POKOK tumbang menghempap tren LRT. FOTO ihsan APM
POKOK tumbang menghempap tren LRT. FOTO ihsan APM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seramai 700 penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) termasuk ibu mengandung berdepan detik mencemaskan selepas pokok tumbang di Stesen LRT Chan Sow Lin malam ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mazran Mohamed berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima laporan pokok tumbang atas tren pada 8.30 malam tadi.

Menurutnya, sepasukan penyelamat APM dikejarkan ke lokasi dan mendapati sebatang pokok tumbang dan menghempap tren.

"Tren itu dalam perjalanan dari Stesen Chan Sow Lin ke Stesen Miharja.

"Seramai lebih kurang 700 penumpang dikeluarkan termasuk wanita mengandung dibantu kakitangan Rapid Kl dan APM Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu, Rapid Kl dalam satu kenyataan berkata, 13 pokok tumbang dan menimpa trek sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras, yang terletak di atas tanah menyebabkan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling terganggu.

"Bermula pada 6.39 petang, gangguan perkhidmatan yang berlaku dalam keadaan hujan dan cuaca tidak menentu itu menyebabkan beberapa tren terkandas di atas trek; sekali gus memerlukan kerja-kerja mengeluar dan menyelamatkan penumpang yang terpaksa dilakukan secara berhati-hati kerana keadaan tanah yang licin dan berbecak di samping risiko panahan petir.

"Rapid KL memohon maaf atas gangguan perkhidmatan ini dan kesulitan yang terpaksa dihadapi pelanggan kami akibat gangguan berkenaan," katanya.

Menurutnya, kerja mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa yang lebih lama daripada biasa atas sebab keselamatan kerana risiko yang dibawa oleh angin ribut, hujan dan petir yang berlaku pada masa itu.

"Kerja mengeluarkan dan memindahkan penumpang selesai pada 10.20 malam namun, kerja pembersihan trek dan pemeriksaan bagi memastikan trek adalah selamat akan berjalan sepanjang malam ini.

"Pasukan penyelamat kami dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta APM bagi menguruskan kerja-kerja pemindahan ini," katanya.

Tambahnya, Rapid KL merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi ini atas bantuan yangdiberikan bagi menangani keadaan ini.

"Penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling,

"Bagi mengurangkan impak gangguan berkenaan, Rapid KL menyediakan perkhidmatan bas perantara di samping meneruskan perjalanan tren menggunakan landasan yang tidak terjejas oleh kejadian ribut berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 12:01 AM