KEADAAN Stesen LRT Hang Tuah pada waktu puncak petang tadi dalam keadaan terkawal. FOTO Ihsan Rapid Rail.
KEADAAN Stesen LRT Hang Tuah pada waktu puncak petang tadi dalam keadaan terkawal. FOTO Ihsan Rapid Rail.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pergerakan penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/ Sri Petaling dan monorel yang dilanjutkan operasi pada waktu puncak mulai hari ini terkawal dan lancar.

Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan terkawal meskipun stesen sesak dengan jumlah penumpang tinggi ekoran warga kota sudah kembali bekerja selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

"Operasi laluan alternatif perkhidmatan LRT laluan Ampang/Sri Petaling membabitkan perkhidmatan tren 'shuttle' antara stesen LRT Hang Tuah dan Masjid Jamek serta bas perantara percuma berjalan lancar.

"Berdasarkan pemerhatian di stesen utama laluan berkenaan pada waktu puncak pagi dan petang mendapati pergerakan penumpang lancar serta terkawal," menurut kenyataan itu.

Lanjutan operasi pada waktu puncak itu bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen dan memudahkan pengguna merancang perjalanan.

Waktu puncak pagi dipanjangkan dari 6.30 pagi sehingga 10.30 pagi, manakala waktu puncak petang dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam.

Sebanyak 34 bas perantara percuma diaktifkan bagi membawa penumpang dari stesen LRT Hang Tuah dan Masjid Jamek sebagai pilihan perjalanan alternatif.

Sementara 348 kakitangan Prasarana membabitkan anggota polis bantuan dan sokongan ditempatkan di stesen utama bagi mengawal pergerakan penumpang serta membantu perjalanan penumpang.

Perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling antara dua stesen iaitu LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek dihentikan operasi pada Jumaat lalu apabila landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya didapati bengkok.

Ia dipercayai akibat keretakan struktur di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 9:06 PM