MAS Ermieyati menandatangani buku pelawat pejabat SKM Cawangan Masjid Tanah sambil diperhatikan Mohd Firdaus (tengah) dan Rusli di pekan Masjid Tanah. FOTO Hasssan Omar
MAS Ermieyati menandatangani buku pelawat pejabat SKM Cawangan Masjid Tanah sambil diperhatikan Mohd Firdaus (tengah) dan Rusli di pekan Masjid Tanah. FOTO Hasssan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tidak sewenang-wenangnya menghentikan operasi koperasi tidak aktif sebaliknya berusaha menyelamatkannya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, pegawai SKM memberi tumpuan kepada koperasi tidak aktif untuk dipulihkan dalam tempoh tiga bulan melalui bimbingan dan khidmat nasihat.

"Ada koperasi gagal mengadakan mesyuarat agung lapan tahun tetapi berkat kegigihan pegawai SKM memberikan khidmat nasihat dan bimbingan, ia berjaya dihidupkan semula.

"Perniagaan koperasi amat penting bagi membentuk komuniti yang mampu mengawal harga barangan kerana mereka melabur dalam koperasi dan mereka turut menentukan harga barangan dijual," katanya ketika meninjau operasi pejabat SKM Cawangan Masjid Tanah di pekan Masjid Tanah hari ini.

Turut hadir, Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaari dan Pengarah Unit Hal Ehwal Antarabangsa dan Komunikasi Korporat SKM Rusli Jaafar.

Mas Ermieyati berkata, anggota komuniti di negara ini harus mencontohi komitmen tinggi masyarakat Jepun dan Jerman bergiat aktif dalam koperasi, sekaligus antara masyarakat dunia yang mendominasi pengawalan harga barangan.

"SKM sangat berlembut dalam membantu memastikan perniagaan koperasi di negara kita kekal berdaya saing dengan perniagaan konvensional dan peluang ini harus dimanfaatkan oleh koperasi yang tidak aktif untuk merancakkan semula perniagaan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, SKM negeri berjaya menyelamatkan Koperasi Siswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Berhad dan Koperasi Politeknik Kota Melaka Berhad yang sebelum ini tidak aktif.

"Kami membimbing ahli koperasi itu mengikuti sesi pemulihan dan melakukan audit serta dan membantu menyediakan cadangan pemulihan," katanya.

Beliau berkata, keseluruhannya ada 475 koperasi di negeri ini dengan kebanyakannya aktif menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Katanya, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka adalah yang terbaik di negeri ini dan yang ke-43 terbaik di Malaysia berikutan aktiviti memberikan pinjaman kepada ahlinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 4:00 PM