Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,  Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kanan) melawat Pasaraya Coop Ummah milik Koperasi Ummah Berhad di Tanjung Lumpur selepas merasmikan pasaraya itu. FOTO MUSTAFFA KAMAL
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (kanan) melawat Pasaraya Coop Ummah milik Koperasi Ummah Berhad di Tanjung Lumpur selepas merasmikan pasaraya itu. FOTO MUSTAFFA KAMAL
Asrol Awang


Kuantan: Kira-kira 30 peratus daripada 14,600 koperasi di seluruh negara dikesan tidak aktif berikutan impak pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sehingga kini, pelbagai usaha dilakukan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membantu koperasi terbabit.

Katanya, antara inisiatif dilakukan termasuk mengubah pelan perniagaan yang dijalankan .

"Dalam tempoh tiga bulan, kita mengadakan rundingan, nasihat dan bimbingan untuk memastikan koperasi kembali aktif.

"Ini kerana bukan mudah untuk menubuhkan koperasi dan sayang jika koperasi dibiarkan tidak aktif atau tutup, satu kerugian. Sebab itu, ia memerlukan komitmen tinggi dalam kalangan ahli koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pasar Raya Coop Ummah milik Koperasi Ummah Berhad (Koperasi Ummah) di Tanjung Lumpur di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Zazali Harun dan Pengerusi Koperasi Ummah Berhad, Sabariah Mohd Noor.

Mengenai pasar raya itu, Mas Ermieya memuji langkah berani Koperasi Ummah membangunkan pasar raya ketika tempoh Covid-19, malah ia bukti sektor koperasi berjaya mendepani cabaran dan situasi ekonomi yang sukar.

"Ruang yang diwujudkan juga dapat memberi peluang pekerjaan dan membantu peniaga Bumiputera dan PKS menjual produk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 2:33 PM