NOH Omar. FOTO Rohanis Shukri.
NOH Omar. FOTO Rohanis Shukri.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan bantuan permulaan berjumlah RM1 juta kepada koperasi yang terjejas akibat banjir.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan itu dibuat ekoran banyak koperasi yang terjejas disebabkan bencana alam itu baru-baru ini.

Menurutnya, bantuan ini tidak terhad untuk premis koperasi yang terjejas banjir saja tetapi akan digunakan untuk membiayai kerosakan dan kerugian prasarana di tapak pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan koperasi terjejas.

"Nilai maksimum yang akan diberikan kepada setiap koperasi yang layak adalah sebanyak RM30,000.

"Bantuan ini juga untuk membiayai kerosakan dan kerugian prasarana di tapak pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan oleh koperasi yang terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SKM juga membenarkan koperasi terjejas menangguhkan pengauditan akaun koperasi disebabkan kemusnahan dokumen perakaunan akibat banjir.

Katanya, penangguhan ini juga tidak menolak kemungkinan koperasi juga terpaksa menangguhkan mesyuarat agung tahunan ke satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian, sehingga semua urusan pasca banjir selesai sepenuhnya.

"SKM juga menawarkan insentif Pengurangan Pemindahan Kumpulan Wang Rezab Statutori (KWRS) daripada 15 peratus kepada lapan peratus daripada untung bersih teraudit selepas pelarasan operasi.

"Ini akan memberi pengurangan kepada koperasi sebanyak tujuh peratus yang boleh dimanfaatkan untuk memulihkan perniagaan koperasi yang terjejas.

"Ini juga inisiatif dan keprihatinan SKM bagi membantu koperasi menangani fasa pemulihan Covid-19 dan kesan bencana banjir yang sedang dihadapi di seluruh negara.

"Inisiatif ini diberikan kepada koperasi mulai tahun kewangan 31 Disember 2021 sehingga 30 November 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 5:14 PM