SAMSOLBARI (kanan) menerima sumbangan melalui program "Bantuan MINDEF Prihatin" yang disampaikan oleh Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Mohamed Fauzi Kamis di Dewan Mahkota di Kem Mahkota, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
SAMSOLBARI (kanan) menerima sumbangan melalui program "Bantuan MINDEF Prihatin" yang disampaikan oleh Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Mohamed Fauzi Kamis di Dewan Mahkota di Kem Mahkota, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

Kluang: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan bantuan barangan keperluan bernilai RM460,000 kepada mangsa banjir di negeri Johor hari ini.

Penyerahan melalui program "Bantuan MINDEF Prihatin" ini membabitkan barang keperluan seperti pakaian, tilam, cerek, selimut dan dapur gas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, kerajaan negeri berterima kasih dengan bantuan untuk meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Katanya, bantuan itu akan diserahkan kepada 21 pemimpin setempat di kawasan terjejas untuk diagihkan kepada penerima yang layak bergantung kepada keperluan masing-masing.

"Antara daerah yang terjejas dengan kejadian banjir baru-baru ini adalah Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat, Pontian, Mersing dan Segamat.

"Diharapkan dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang terjejas untuk pulih semula bagi menjalani kehidupan harian seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan program itu yang disampaikan Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Mohamed Fauzi Kamis di Dewan Mahkota di Kem Mahkota di sini.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Datuk Syed Fazmi Sayid Mohamad dan Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, Datuk Zulkarnain Kamisan.

Sementara itu, Mohamed Fauzi berkata, Johor adalah negeri keempat menerima bantuan melalui program itu selepas Kelantan, Pahang dan Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, objektif bantuan adalah bagi meringankan beban sekali gus menunjukkan keprihatinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap mangsa banjir supaya mereka mendapat bantuan sewajarnya.

Dalam pada itu, di majlis sama Affin Bank turut menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM210,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 2:52 PM