Penduduk menaiki bot untuk berpindah ke PPS selepas kediaman dinaiki air di Kampung Spang Loi Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Penduduk menaiki bot untuk berpindah ke PPS selepas kediaman dinaiki air di Kampung Spang Loi Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus melonjak naik kepada 4,737 orang daripada 1,282 keluarga di 71 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan tujuh daerah, setakat 8 malam ini.

Ia berbanding hanya 4,278 mangsa daripada 1,130 keluarga di 70 PPS, 4 petang tadi.

Exco Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, Segamat terus menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini apabila mangsa banjir daerah itu melonjak kepada 3,554 orang daripada 958 keluarga yang ditempatkan di 49 PPS, malam ini.

Katanya, ia berbanding hanya 3,344 mangsa daripada 872 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS, petang tadi.

Beliau berkata, sebanyak 71 PPS kini dibuka di Johor dengan Segamat yang paling banyak iaitu 49, diikuti Tangkak (lapan), Mersing (enam), Kota Tinggi dan Kluang masing-masing tiga, Muar (dua) Batu Pahat (sebuah) manakala satu-satunya PPS di Johor Bahru ditutup petang tadi.

"Mangsa banjir paling ramai adalah di PPS (SK) Kampung Tenang, Segamat (502 mangsa daripada 157 keluarga), SJK (C) Tah Kang di Segamat dengan 319 mangsa daripada 85 keluarga diikuti SK Tambang di Spang Loy (312 mangsa daripada 98 mangsa) selain SK Batu Anam, Segamat (229 mangsa daripada 73 keluarga).

"Tangkak melonjak menjadi daerah kedua terjejas banjir dengan 297 mangsa daripada 79 keluarga di lapan PPS manakala Mersing pula turut naik dengan 476 mangsa daripada 125 keluarga di enam PPS.

"Kota Tinggi pula merekodkan 210 mangsa banjir daripada 61 keluarga di tiga PPS, Kluang merekodkan 71 mangsa daripada 22 keluarga di sebuah PPS manakala Batu Pahat pula dengan 77 mangsa daripada 22 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Haji Kamisan.

"Muar yang menjadi daerah terbaru terjejas banjir di negeri ini pula mencatatkan seramai 52 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), malam ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 9:33 PM