PETUGAS membawa selimut untuk diedarkan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Mawai, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PETUGAS membawa selimut untuk diedarkan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Mawai, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Situasi banjir yang melanda Johor bertambah buruk apabila Muar menjadi daerah kelapan dan terbaharu terjejas yang menyaksikan 52 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 4 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, secara keseluruhan sehingga jam 4 petang ini jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 4,278 mangsa daripada 1,130 keluarga yang ditempatkan di 70 PPS.

Berbanding setakat tengah hari tadi jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan jumlah seramai 4,062 mangsa daripada 1,064 keluarga di 64 PPS.

Vidyananthan berkata, Segamat terus menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan 3,344 mangsa daripada 872 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS berbanding 3,284 mangsa membabitkan 853 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS tengah hari tadi.

Beliau berkata, Segamat yang paling PPS dibuka iaitu 47, diikuti Tangkak (tujuh), Mersing (enam), Kota Tinggi dan Kluang masing-masing tiga, Johor Bahru dan Batu Pahat masing-masing satu manakala dua PPS dibuka di Muar.

"Mangsa banjir paling ramai adalah di PPS (SK) Kampung Tenang, Segamat (502 mangsa daripada 157 keluarga), SJK (C) Tah Kang di Segamat dengan 319 mangsa daripada 85 keluarga diikuti SK Batu Anam, Segamat (256 mangsa daripada 70 keluarga).

"Tangkak melonjak menjadi daerah kedua terjejas banjir dengan 161 mangsa daripada 45 keluarga di tujuh PPS manakala Mersing pula turut naik dengan 395 mangsa daripada 101 keluarga di enam PPS.

"Kota Tinggi pula merekodkan 203 mangsa banjir daripada 60 keluarga di tiga PPS manakala Batu Pahat pula dengan 50 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS Balairaya Kampung Haji Kamisan.

"Johor Bahru pula merekodkan dua mangsa banjir daripada satu keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Raya Sungai Tiram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 5:02 PM