TUNKU Ismail Ibrahim bersama Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid (kanan/berdiri) meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS  di SMK Kahang Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
TUNKU Ismail Ibrahim bersama Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid (kanan/berdiri) meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di SMK Kahang Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Sebanyak 51 keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah ini akan menerima bantuan wang RM1,500 setiap keluarga melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid berkata, sumbangan berkenaan akan diuruskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Pejabat Daerah Kluang.

Katanya, pihaknya juga bersyukur kerana pengurusan bencana di Johor turut mendapat kerjasama baik pelbagai agensi kerajaan di peringkat Pusat dan negeri selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama isteri baginda, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, mencemar duli melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang bagi meninjau situasi semasa dan memberikan bantuan kepada mangsa yang terbabit.

"Terima kasih juga kepada agensi-agensi keselamatan, kesihatan dan kerajaan negeri, Johor Military Force (JMF), Southern Volunteers dan NGO yang turun ke lapangan untuk membantu," katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, bantuan membaiki rumah kepada pemilik kediaman yang terjejas kini dalam proses penilaian dan akan disalurkan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, beliau berkata, hujan berpanjangan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa rumah di sekitar Kampung Contoh di Kahang dinaiki air.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kluang sudah mengatur gerak agensi berkaitan dalam misi menyelamat serta membuka PPS bagi menempatkan mangsa yang terbabit.

"Southern Volunteers turut bertindak pantas dalam menghulurkan bantuan dengan memberikan sumbangan keperluan asas kepada Pusat Kawalan Operasi Banjir Daerah Kluang (PKOB) untuk diagihkan kepada mangsa," katanya.

Menurut beliau, sehingga tengah hari ini, 124 individu daripada 37 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Contoh masih ditempatkan di PPS SMK Kahang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 12:50 PM