Hishammuddin melawat kediaman anggota tentera di Kem Batu Tiga yang terjejas banjir baru baru ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Hishammuddin melawat kediaman anggota tentera di Kem Batu Tiga yang terjejas banjir baru baru ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Oleh: Roselan Ab Malekl


Temerloh: Kementerian Pertahanan (Mindef) menyumbang wang tunai RM500 kepada 104 keluarga termasuk 26 keluarga warga awam Mindef di Kem Batu Tiga, Temerloh di Pahang yang terjejas banjir baru-baru ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pemberian berkenaan sebagai tambahan kepada bantuan RM1,000 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bantuan RM500 yang diumumkan Kerajaan Pahang sebelum ini.

Beliau berkata selain wang tunai, Mindef turut membekalkan bakul makanan serta kelengkapan asas rumah seperti peti ais, cerek, dapur, periuk nasi, bantal, tilam, cadar, selimut dan katil.

Hishammuddin berkata kementeriannya turut menyalurkan peruntukan RM10,000 khusus untuk Sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di Kem Batu Tiga bagi tujuan membaik pulih kerosakan.

"Insya-Allah, saya akan umumkan bantuan-bantuan tambahan dari masa ke masa kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), (warga) awam Mindef dan veteran ATM di seluruh negara yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. Semoga dipermudahkan setiap urusan mereka," katanya menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Selain itu, Hishammuddin berkata bekalan elektrik di kem berkenaan antara yang terjejas dan belum pulih sepenuhnya sehingga sekarang walaupun air telah surut.

"Saya berterima kasih kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana terus beri perhatian dengan membekalkan tenaga elektrik sementara menggunakan generator.

"Namun dalam masa sama, saya turut terangkan betapa pentingnya bekalan elektrik di kem ini, bukan sahaja untuk pengoperasian tetapi juga demi kegunaan penghuni di Rumah Keluarga Angkatan Tentera dalam kem ini," katanya.

Hishammuddin juga meminta TNB agar mempercepatkan proses baik pulih agar membolehkan bekalan elektrik dibekalkan seperti sedia kala tanpa menggunakan generator demi kepentingan operasi kem dan seluruh anggota serta keluarga di kem berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 11:18 PM