Dr Sahruddin (tengah) bersama pelajar sekolah yang menerima sumbangan keperluan persekolahan hari ini. FOTO Adnan Ibrahim
Dr Sahruddin (tengah) bersama pelajar sekolah yang menerima sumbangan keperluan persekolahan hari ini. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


KERAJAAN Johor memperuntukkan RM400,000 untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, 1,272 daripada kira-kira 10,000 mangsa banjir di negeri itu adalah pelajar sekolah.

Katanya, bantuan diberikan bagi meringankan beban ketua keluarga menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing selepas mereka berdepan musibah itu.

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka dan ia akan disampaikan secara berperingkat oleh pemimpin kawasan masing-masing dalam masa terdekat.

“Untuk hari ini, saya akan bertemu mangsa dan pelajar di Kluang, Batu Pahat, manakala di Segamat sama ada Pusat Penempatan Sementara (PPS) akan ditutup atau tidak hanya akan diputuskan selepas tinjauan dilakukan,” katanya ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kembali ke sekolah kepada anak mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Yong Peng, dekat sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Sahruddin mengesahkan kerajaan negeri bersedia menghadapi gelombang kedua banjir jika ia berlaku seperti diramalkan.

Katanya, semua agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap siaga untuk membantu memindahkan mangsa ke PPS.

“Marilah kita sama-sama berdoa supaya musibah ini tidak berulang dan pada masa sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setiap daerah dikehendaki mengenal pasti punca banjir bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 4:39 PM