Hazri A Bakar

Johor Bahru: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor membantu menyediakan kelengkapan persekolahan 200 murid dan pelajar dari dua kampung yang terjejas banjir di daerah ini.

Sumbangan kali ini menumpukan penduduk Kampung Sepakat Baru dan Kampung Laut di Skudai, dekat sini terjejas teruk akibat bencana alam itu baru-baru ini.

Pengerusi Dewan Muda DPMM Johor, Rozaihan Rahman berkata, selain kelengkapan sekolah, pihaknya turut mengagihkan keperluan harian kepada keluarga terbabit.

Katanya, lebih 30 ahli DPMM termasuk ahli Dewan Muda dan Dewanita terbabit dalam menjayakan kerja amal itu.

"Bagi memudahkan sumbangan diberikan, kami bekerjasama dengan wakil penduduk bagi mendapatkan saiz baju sekolah.

"Ia lebih mudah kerana mangsa banjir tak perlu keluar apatah lagi ketika ini mereka sedang bertungkus lumus membersihkan rumah selepas banjir yang melanda kediaman mereka beberapa hari lalu," katanya selepas menyerahkan sumbangan itu hari ini.

Rozaihan Rahman (kiri) bersama ahli DPMM Johor dan penduduk kampung yang menerima bantuan pasca banjir di Skudai, hari ini.
Rozaihan Rahman (kiri) bersama ahli DPMM Johor dan penduduk kampung yang menerima bantuan pasca banjir di Skudai, hari ini.

Hadir sama Penghulu Mukim Tebrau, Khairul Hamid.

Dalam pada itu, bagi meringankan beban mangsa banjir di kampung terbabit, DPMM turut menyumbangkan 63 tilam selain keperluan harian seperti sabun basuh, makanan asas termasuk biskut, susu dan pelbagai barangan lain.

Rozaihan berkata, bantuan adalah hasil kutipan daripada orang awam serta rakan usahawan DPMM yang tidak mahu ketinggalan dalam membantu mangsa banjir di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 4:46 PM