GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan program Wilayah Persekutuan Bermunajat di masjid, surau Jumaat, dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) bermula selepas solat Maghrib hari ini.

Jawi dalam kenyataannya hari ini berkata, program itu akan diisi dengan solat hajat, zikir dan doa munajat yang diadakan serentak, termasuk di kediaman masing-masing di seluruh Wilayah Persekutuan.

Katanya, melalui program ini, imam di masjid, surau Jumaat dan surau akan membacakan teks zikir dan doa yang disediakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan menggunakan pembesar suara supaya dapat didengar penduduk, selain ia boleh diikuti secara langsung di Facebook rasmi Jawi.

"Solat hajat, zikir dan doa munajat ini akan diteruskan selepas solat Maghrib dan Jumaat sehingga pandemik (Covid-19) ini berakhir.

"Inisiatif diadakan ini susulan situasi terkini penularan wabak Covid-19 yang jumlah hariannya semakin meningkat di dalam negara," katanya.

Jawi mengajak seluruh rakyat beragama Islam di Wilayah Persekutuan bersama-sama bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT agar penularan wabak Covid-19 dapat segera dibendung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 2:26 PM