GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tazkirah dan zikir munajat selepas solat Maghrib hingga masuk waktu Isyak di semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan secara berselang-seli dengan mengehadkan bilangan jemaah kepada 50 peratus kapasiti dewan solat utama serta penjarakan fizikal 1.5 meter.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, selain itu pihaknya juga membuat ketetapan membenarkan kuliah Subuh selama tidak melebihi 30 minit dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Katanya, majlis akad nikah dengan kehadiran tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat utama masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter juga dibenarkan.

"Berdasarkan perkembangan terkini serta perkenan Yang di-Pertuan Agong, Jawi membuat ketetapan untuk membenarkan Pelaksanaan Aktiviti Pengimarahan Masjid, surau Jumaat dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

"Kita juga mengadakan solat hajat, bacaan Yassin, doa munajat dan tahlil setiap malam Jumaat dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

"Selain itu kita juga benarkan solat hajat selepas Maghrib pada setiap malam dan selepas solat Jumaat dengan penjarakan fizikal 1.5 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ajib berkata, bilangan jemaah dan lain-lain ketetapan di semua masjid, surau Jumaat dan surau di kawasan Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) masih tertakluk dengan ketetapan yang dilaksanakan sebelum ini dengan perubahan terhadap jumlah kehadiran akad nikah tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat utama masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

"Marilah kita semua mempertingkatkan amal ibadah serta terus beristiqamah di dalam mengimarahkan masjid dan surau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 4:26 PM