Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Samadi Ahmad


Putrajaya: Berita dinanti-nanti apabila semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan menunaikan solat Jumaat serta solat fardu secara berjemaah mengikut kapasiti keluasan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata, kehadiran jemaah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan sosial 1.5 meter.

Menurutnya, kebenaran itu bagi menjunjung titah perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

selaras dengan perkembangan terkini Fasa 3 PPN.

"Ketetapan baharu dikeluarkan berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan," katanya.

Katanya, semua masjid dan surau dibenarkan melaksanakan aktiviti lain seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Zohor, tazkirah sebelum solat Jumaat, Tadarus Al-Quran, kuliah muslimat, bacaan yasin, tahlil, program zikir munajat dan doa tertakluk kepada SOP ditetapkan.

"Semoga umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP ditetapkan dan memanfaatkan peluang ini untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa penularan wabak Covid-19 segera berakhir,"katanya.

Media semalam melaporkan, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Lembah Klang, Melaka dan Kedah berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas berkenaan, berkata Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta Melaka beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3, manakala Kedah daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

Katanya, peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 5:34 PM