MOHD AJIB ISMAIL
MOHD AJIB ISMAIL
Suraya Roslan


JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil inisiatif mengadakan program ‘Wilayah Persekutuan Bermunajat’ bagi menyeru seluruh umat Islam bermunajat dan berdoa kepada Allah supaya penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, program itu akan diadakan selama lima hari iaitu 2, 4, 7, 9, dan 13 April bermula jam 7.50 malam di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan akan memperdengarkan zikir dan munajat melalui pembesar suara diikuti bacaan doa disediakan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Jawi mengambil maklum penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh Wilayah Persekutuan sedang memasuki fasa lebih kritikal dengan peningkatan kes dan angka kematian serta pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

“Menyedari perkara ini, Jawi dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif menganjurkan Program Wilayah Persekutuan Bermunajat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ajib berkata, diharap seluruh umat Islam di Wilayah Persekutuan bermunajat dan berdoa kepada Allah supaya wabak itu dapat dibasmi dan rakyat Malaysia mendapat rahmat dan perlindungan Allah serta dibebaskan dari wabak itu.

“Program selama lima hari itu akan dilakukan selepas solat Maghrib di semua masjid, surau Jumaat, surau dan kediaman masing-masing.

“Anak-anak kariah boleh terus #dudukdirumah dan mengikuti zikir dan munajat imam di masjid dan surau serta mengikuti di Facebook Live Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Asy-Syakirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 4:12 PM