GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kegiatan Geng Merry menyamar sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperdaya warga emas sebelum mencuri berakhir apabila tiga ahli kumpulan terbabit ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan pada jam 2.30 petang, 9 Ogos lalu, berhubung kejadian mencuri dalam rumah di kediaman seorang wanita warga emas berusia 82 tahun di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri, di sini, yang menyebabkan kerugian RM8,000.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket ini didalangi oleh dua wanita yang menyamar sebagai anggota NGO kebajikan yang datang untuk menyerahkan bantuan.

"Semasa urusan penyerahan sumbangan dilakukan, salah seorang suspek menyelinap masuk ke dalam bilik tidur untuk mencuri barang.

"Sindiket ini turut menyasarkan golongan warga emas yang tinggal bersendirian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beh berkata, susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menahan dua suspek berusia 23 dan 43 tahun, Sabtu lalu, serta merampas 17 bungkus makanan pelbagai jenis dan jenama, empat telefon bimbit dan pakaian yang digunakan semasa kejadian.

"Seorang lagi suspek wanita berusia 23 tahun ditahan hari ini di mana mereka mengaku terbabit dalam kejadian terbabit.

"Suspek utama berusia 43 tahun mempunyai 12 rekod kesalahan jenayah lampau manakala rakannya mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah termasuk kes pecah rumah dan curi dalam bangunan," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman di IPD Sentul bagi membantu siasatan lanjut.

"Susulan operasi yang dijalankan ini, polis Sentul berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian dalam bangunan yang dilaporkan di sekitar kawasan Jinjang pada tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 6:07 PM