Antara Proton Wira yang berjaya dirampas polis Sentul susulan penahanan sembilan suspek termasuk seorang wanita dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang baru-baru ini. FOTO IHSAN POLIS
Antara Proton Wira yang berjaya dirampas polis Sentul susulan penahanan sembilan suspek termasuk seorang wanita dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang baru-baru ini. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket curi Proton Wira yang aktif di Lembah Klang dengan penahanan sembilan individu termasuk seorang wanita.

Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 38 tahun itu berjaya diberkas oleh Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dalam beberapa siri serbuan Op Lejang Wira sejak 9 Februari sehingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan dan risikan dilakukan selepas menerima laporan kes kecurian kenderaan.

"Seramai lapan lelaki dan seorang wanita tempatan berjaya ditahan di beberapa lokasi berasingan di Sentul, Petaling Jaya dan Rawang, Selangor.

"Hasil penahanan itu, polis menemui empat kereta Proton Wira yang pernah dilaporkan hilang. Turut dirampas sembilan telefon bimbit, tiga kunci Allen(allen key ) ditajamkan dan dua jenis spanar yang diubahsuai disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan.

"Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai lebih RM24,000," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan mesra bertemu peniaga dan pengunjung di Pasar Pagi Taman Kok Doh, Sentul, di sini.

Mengulas lanjut, Beh berkata, soal siasat dilakukan mendedahkan modus operandi kumpulan berkenaan yang menyasarkan kenderaan berkenaan bagi mendapatkan komponen untuk dijual.

"Komponen dijual kepada individu berminat dan pemilik kedai alat ganti kenderaan dikenali di sekitar kawasan Gombak, manakala bateri kereta pula dijual di kedai barangan lusuh," katanya.

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dengan suspek utama adalah bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang baru selesai menjalani hukuman.

Kata beliau, enam suspek masih dalam tahanan reman manakala dua suspek dibebaskan dengan jaminan dan dijadikan saksi polis.

Beliau percaya, dengan tertumpasnya kumpulan curi kenderaan itu, ia berjaya menyelesaikan lima kes kecurian di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 10:14 AM