Shafee (dua dari kiri) menunjukkan rangka motosikal yang ditemui polis dalam beberapa serbuan yang diadakan di sekitar Seberang Perai Tengah. Foto Nur Izzati Mohamad
Shafee (dua dari kiri) menunjukkan rangka motosikal yang ditemui polis dalam beberapa serbuan yang diadakan di sekitar Seberang Perai Tengah. Foto Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

POLIS menumpaskan Geng Bokbok dan Geng Wan Pelet yang aktif melakukan aktiviti curi motosikal dengan penahanan tujuh lelaki dalam beberapa serbuan pada 5 Julai dan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 19 tahun di sebuah rumah di Kampung Masjid Timah di Bukit Mertajam pada 5 petang, 5 Julai lalu.

Katanya, hasil soal siasat, seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan sebelum anggota polis dibawa ke sebatang sungai di Perai yang dijadikan lokasi pembuangan rangka motosikal curi.

"Melalui bantuan Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM), Batu Uban berjaya menemui enam rangka motosikal yang dibuang suspek yang juga anggota Geng Bokbok.

"Siasatan lanjut terhadap dua suspek terbabit membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun di Jeli, Kelantan pada 10 Julai lalu," katanya ketika sidang media di IPD Seberang Perai Tengah hari ini.

Sementara itu, Shafee berkata, polis menahan empat lelaki yang turut menjalankan kegiatan curi motosikal dan merampas lima rangka motosikal yang dibuang di dalam tali air.

"Rentetan itu, polis melakukan serbuan pada 3 petang Selasa lalu dan menahan empat lelaki berusia 18, 22 dan 23 tahun di Kepala Batas serta Bukit Tengah.

"Ketika ditahan dua daripada suspek itu sedang menunggang motosikal curi dan siasatan mendapati anggota Geng Wan Pelet itu mengaku terbabit dengan kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati dua kumpulan itu mencuri motosikal sebelum komponennya dijual sebagai alat ganti, manakala rangka akan dibuang ke dalam sungai dan tali air.

Katanya, polis percaya dapat menyelesaikan 36 kes curi motosikal di daerah itu dan giat memburu baki suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 4:17 PM