ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim menggunakan bot untuk menghantar makanan kepada penduduk orang Asli di Kampung Changkat Ramu dan Buluh Seruas apabila penduduk terputus hubungan akibat jalan masuk dinaiki air. FOTO Ihsan pembaca
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim menggunakan bot untuk menghantar makanan kepada penduduk orang Asli di Kampung Changkat Ramu dan Buluh Seruas apabila penduduk terputus hubungan akibat jalan masuk dinaiki air. FOTO Ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi

Ipoh: Hulu Perak menjadi daerah terbaru di Perak dilanda banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pada 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 448 mangsa daripada 131 keluarga yang ditempatkan di lima PPS di tiga daerah setakat 6.30 petang tadi berbanding 493 mangsa daripada 144 keluarga setakat 12.30 tengah hari, hari ini.

Jumlah itu menurun apabila dua PPS iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim di daerah Muallim masing-masing ditutup pada 2.30 petang dan 4.30 petang tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, setakat ini, daerah Hilir Perak masih kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 410 orang daripada 117 keluarga.

Menurutnya, mereka ditempatkan di tiga PPS di Dewan Serbaguna Chikus, Dewan MPTI Teluk Intan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Langkap.

"Mangsa banjir di Hilir Perak menurun apabila PPS di Dewan MPTI Langkap ditutup sepenuhnya pada 2.30 petang tadi.

"Mangsa banjir di daerah Kampar kekal dengan 25 mangsa daripada 11 keluarga yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Dato' Azman Mahalan, Kuala Dipang.

"PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Perah di daerah Hulu Perak yang baru dibuka menempatkan seramai 13 mangsa daripada tiga keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 8:05 PM