PENDUDUK setempat menikmati minuman selepas melakukan kerja mengalihkan barangan di rumahnya yang terjejas akibat banjir di Kampung Changkat Jong. FOTO BERNAMA
PENDUDUK setempat menikmati minuman selepas melakukan kerja mengalihkan barangan di rumahnya yang terjejas akibat banjir di Kampung Changkat Jong. FOTO BERNAMA
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Keadaan banjir di Perak bertambah buruk apabila jumlah mangsa meningkat kepada 1,010 orang daripada 263 keluarga di mana mereka kini ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini setakat 5 petang ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, berkata jumlah mangsa semakin meningkat berbanding seramai 615 mangsa daripada 161 keluarga di 11 PPS pada pagi tadi.

Katanya, paling terbaharu satu PPS di buka di daerah Sungai Siput pada 4 petang hari ini.

Menurutnya, kawasan RPT Tok Sirat terjejas apabila seramai 51 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat yang dibuka, petang ini.

"Daerah Muallim kekal tertinggi dengan merekodkan seramai 458 mangsa daripada 109 keluarga yang ditempatkan di lima PPS iaitu di Dewan Slim Village, Sekolah Agama Slim Village, Sekolah Kebangsaan (SK) Balun, Pejabat KEMAS dan SK Kuala Slim.

"Bagi Daerah Hilir Perak, mangsa meningkat kepada 442 orang daripada 125 keluarga berbanding 85 mangsa daripada 24 keluarga pagi tadi.

"Kesemua mangsa banjir ditempatkan di empat PPS iaitu di Dewan Tanjung Keramat, Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Dewan MPTI Langkap, Dewan Serbaguna Chikus dan SK Sri Langkap," katanya.

Katanya, jumlah mangsa di daerah Kampar turut meningkat kepada 60 orang daripada 18 keluarga yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Batu 20, Dewan Serbaguna Dato Azman Mahalan dan Dewan Bandaran Gopeng.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 7:24 PM