Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Senator Datuk Razali Idris (depan empat dari kiri) bergambar bersama ibu bapa penerima bantuan wang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Senator Datuk Razali Idris (depan empat dari kiri) bergambar bersama ibu bapa penerima bantuan wang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Hulu Terengganu: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Holding Sdn Bhd menyediakan sebanyak 800 peluang pekerjaan baru untuk penduduk yang terkesan akibat Covid-19 pada tahun ini.

Peluang pekerjaan dalam sektor perladangan itu akan ditawarkan secara berperingkat sepanjang 2021.

Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris berkata, pihaknya dalam usaha menamatkan pengambilan pekerja asing dalam sektor peladangan di KETENGAH.

"Kami mahu KETENGAH sifar daripada tenaga kerja asing pada tahun ini. Pekerja asing yang tamat kontrak tidak akan disambung perkhidmatan mereka.

"Kami harap langkah yang diambil KETENGAH itu secara tidak langsung memberi peluang kepada anak tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.

"Jika dahulu mungkin penduduk tempatan tidak berminat berkerja di ladang tetapi sekarang desakan hidup memaksa mereka melakukan apa sahaja kerja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali ke Sekolah KETENGAH, di Kampung Landas di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar KETENGAH Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Pegawai Pendidikan Daerah, Rosli Chik.

Razali berkata, pihaknya akan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan pelbagai faedah yang baik untuk pekerja tempatan.

"Kami akan naikkan jumlah gaji untuk pekerja tempatan supaya bebanan mereka yang terkesan dengan Covid-19 sebelum ini berkurangan.

"Keutamaan akan diberikan kepada penduduk di bawah wilayah KETENGAH terlebih dahulu berbanding orang luar.

"Difahamkan sebanyak 30 peratus penduduk di wilayah KETENGAH yang terjejas dan kehilangan pekerjaan kerana Covid-19 oleh itu mereka perlu dibantu," katanya.

Dalam perkembangan lain, 1,860 pelajar dan murid dari 62 sekolah dalam wilayah KETENGAH menerima bantuan berbentuk wang tunai RM100 untuk murid dan RM150 untuk pelajar sekolah menengah.

Sebanyak RM211,500 diperuntukan KETENGAH untuk program tahunan yang dijalankan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 12:04 PM