Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melantik 200 sukarelawan bagi membantu penduduk di kawasan pedalaman mendaftarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, sukarelawan daripada skuad Ketengah Ambik Cakne itu dibayar elaun antara RM80 dan RM100 sehari untuk mendaftarkan penduduk melalui sistem MySejahtera atau secara manual.

Katanya, seramai 31,500 atau 45 peratus daripada 70,00 penduduk di kawasan pedalaman wilayah Ketengah didaftarkan untuk mendapatkan suntikan selepas kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh (SPP) awal bulan ini.

"Kita menyasarkan sebanyak 80 peratus penduduk di kawasan pedalaman di wilayah Ketengah mendapatkan suntikan vaksin Ogos depan," katanya kepada media selepas menyantuni tukang jahit kasut tradisional di bandaraya Kuala Terengganu hari ini.

Pada majlis itu, Razali menyampaikan peruntukan khas senator sebanyak RM2,400 kepada tukang kasut yang terkesan susulan pelaksanaan SPP.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) negeri, Badrolhisham Mohamed@Shafie dan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Nerus, Khazan Che Mat.

Pada program secara pandu lalu itu, setiap tukang kasut tradisional menerima bantuan sekali bayaran sebanyak RM300 seorang.

Razali yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, ahli sukarelawan itu bergerak ke setiap rumah untuk mendaftarkan nama penduduk bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Katanya, skuad sukarelawan itu juga diminta membantu Jabatan Kesihatan negeri mengesan nama penduduk yang sudah mendaftar tetapi gagal ke pusat suntikan vaksin Covid-19.

"Sehingga kini, hanya 10 peratus daripada 31,500 penduduk di kawasan pedalaman wilayah Ketengah sudah mendapatkan suntikan vaksin dos pertama, tetapi tidak hadir mendapatkan suntikan dos kedua.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri untuk mendapatkan senarai nama penduduk yang tidak hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin kedua," katanya.

RAZALI semasa sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada tukang kasut di bandaraya Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
RAZALI semasa sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada tukang kasut di bandaraya Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 1:23 PM