Setakat ini seramai 51,953 penduduk di wilayah itu dari Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman sudah didaftarkan. FOTO NSTP
Setakat ini seramai 51,953 penduduk di wilayah itu dari Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman sudah didaftarkan. FOTO NSTP
Rosli Ilham

Dungun: Seramai 70,000 penduduk di wilayah Terengganu Tengah dijangka akan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 pada akhir Ogos nanti.

Pengerusi Ketengah Datuk Razali Idris berkata, beliau percaya sasaran itu dapat dilakukan menerusi Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan Ketengah bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Menurutnya, setakat ini seramai 51,953 penduduk di wilayah itu dari Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman sudah didaftarkan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,700 sudah menerima vaksin di lapan pusat penerimaan vaksin (PPV) yang kita laksanakan.

"Bagi merealisasikan sasaran itu, kita bercadang untuk menjadikan Balai Orang Ramai di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) sebagai pusat PPV," katanya selepas meninjau PPV Outreach di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi di sini, hari ini.

Razali berkata, Ketengah bersedia membantu menyediakan pelbagai kelengkapan dan peralatan demi mempercepatkan suntikan kepada penduduk.

"Kita sedia bekerjasama untuk memberikan peralatan dan kelengkapan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya perlu menyediakan petugas serta bekalan vaksin sahaja," katanya.

Menurutnya, beliau sebolehnya mahu melaksanakan proses suntikan itu dengan cepat sebelum kehadiran musim tengkujuh kerana 60 peratus kawasan di wilayah berkenaan berdepan dengan banjir setiap tahun.

"Bila berlaku banjir, proses vaksin kepada penduduk akan berdepan kesukaran kerana penduduk yang dilanda tidak dapat ke PPV dan pihak kita juga berdepan kesukaran masuk ke kawasan banjir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 4:27 PM