TENGKU Razaleigh berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
TENGKU Razaleigh berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tetap berjuang bersama UMNO yang didokong selama ini.

Katanya, beliau tidak sekali-kali berniat untuk menyertai parti baharu Parti Pejuang Tanah Air yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengakui tidak salah atau tidak bertentangan dengan dasar parti UMNO walaupun berada di pentas sama baru-baru ini untuk mencari keadilan kerajaan.

"Saya ahli UMNO. Sebagai seorang ahli politik takkan saya semudah itu nak tukar parti, walaupun saya ini kenalan baik Dr Mahathir. Lagi pun dia rapat dengan saya dari dulu lagi.

"Sama-sama senior dari parti UMNO tapi dia bukan dalam UMNO lagi. Sekarang, dia cuba nak tubuh sebuah parti pimpinan sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Gua Musang, di Bukit Chekati, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelbagai desakan supaya beliau keluar daripada UMNO berikutan tindakannya berada di pentas bersama Dr Mahathir baru-baru ini.

Tengku Razaleigh juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, beliau berjumpa dengan Dr Mahathir dengan satu tujuan dan tidak lebih daripada itu.

Katanya, soal yang paling besar kerana beliau benar-benar serius hendak tolong rakyat sebab keadaan politik tidak stabil dan masalah ekonomi negara berpanjangan.

"Disebabkan masalah itu, pelabur luar tak datang kenegara kita untuk melabur kerana tak yakin kepada pimpinan Muhyidin sebagai Perdana Menteri.

"Malah, apa yang paling teruk berlaku kepada rakyat peningkatan mendadak pengganguran kerana tidak dapat wujud peluang pekerjaan," katanya.

Katanya, masalah itu tidak boleh bersandarkan kepada penularan Covid-19 tetapi banyak lagi usaha boleh dilakukan kerajaan mengatasi perkara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 11:12 AM