Paya Linda Yahya

Gua Musang: Umno Gua Musang percaya tindakan yang diambil parti terhadap beberapa ahli yang dipecat dan digantung keahlian mereka adalah berlandaskan kepada penelitian pihak bertanggungjawab termasuk jawatankuasa disiplin.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, setiap parti mempunyai disiplin tersendiri.

"Saya percaya benda ini sudah pun diteliti dengan cermat oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab termasuk jawatankuasa disiplin.

"Setiap parti ada disiplin. Seseorang yang tidak ikut tatacara dan cara kerja serta susunan organisasi akan dikenakan disiplin bagi memastikan parti berjalan dengan baik.

"Apatah lagi dalam keadaan sekarang usaha dijalankan untuk menstabilkan keadaan politik," katanya ketika ditemui di Bukit Chekati di sini, semalam.

TENGKU Razaleigh ketika ditemui di Bukit Chekati. FOTO Paya Linda Yahya
TENGKU Razaleigh ketika ditemui di Bukit Chekati. FOTO Paya Linda Yahya

Veteran Umno itu berkata, tindakan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga wajar kerana sudah menjadi tanggungjawab seorang ketua untuk memantau perjalanan parti dan pemimpin daripada parti itu.

"Ketua parti akan mengawasi perjalanan parti dan tingkah laku pemimpin-pemimpin sama ada yang menjalankan tugas biasa dan ada yang mempunyai minat untuk mencabar jawatan-jawatan tertentu, sampai ke peringkat tinggi pun.

"Jadi, kalau berlaku tindakan seperti yang diumum semalam (kelmarin) tak hairanlah kita. Jika tidak berpuas hati bolehlah buat rayuan. Ini perkara biasa dalam parti politik terutama sekali," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dipecat keahliannya daripada Umno.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang dipengerusikan Ahmad Zahid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 9:47 AM