GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad (ANIH) menyarankan pengguna lebuh raya merancang perjalanan ke Pantai Timur sempena sambutan Hari Krismas.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pihaknya menyediakan jadual cadangan waktu perjalanan sebagai rujukan pengguna untuk ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sehubungan itu, katanya, ANIH Berhad menyarankan pengguna yang ingin menuju ke Pahang pada 24 Disember 2020 untuk masuk ke lebuh raya sama ada pada 2 tengah hari hingga 4 petang atau antara 7 malam hingga 11 malam.

"Pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh yang sama pula boleh memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau pada 5 petang hingga 8 malam.

"Untuk kembali ke ibu kota pada 27 Disember, pengguna dari Pahang boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara 6 pagi hingga 10 pagi atau antara 7 malam hingga 11 malam.

"Pada tarikh yang sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara 8 pagi hingga 11 pagi atau antara 8 malam hingga 10 malam.

"Manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula 6 petang hingga 9 malam atau antara 11 malam hingga 12 tengah malam," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ANIH Berhad turut bersimpati dengan keadaan banjir yang melanda beberapa tempat terutama di Terengganu dan Kelantan dengan menasihati pengguna lebuh raya supaya merujuk kepada maklumat terkini keadaan banjir sebelum merancang perjalanan.

Bagi membendung penularan wabak Covid-19, katanya, semua fasiliti di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

"Oleh itu, pengguna lebuh raya dinasihati untuk sentiasa mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan terutama ketika menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah.

"Untuk perjalanan yang lancar, syarikat turut menasihati pengguna untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch 'n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 1:04 PM