KAKITANGAN LPT mengedarkan bungkusan limau mandarin kepada pengguna  di Plaza Tol Gombak.
KAKITANGAN LPT mengedarkan bungkusan limau mandarin kepada pengguna di Plaza Tol Gombak.

Gombak: ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) membelanjakan RM100 juta sejak tiga tahun lalu untuk program pembaikan dan penambahbaikan ciri keselamatan di lebuh raya kendaliannya.

Pengarah ANIH Berhad Nik Fauzi Nik Hussein berkata, perbelanjaan itu bagi memastikan Lebuhraya KLK dan LPT1 sentiasa memenuhi tahap kualiti jalan raya berdasarkan garis panduan dan piawaian yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Ini termasuk menurap semula permukaan lebuh raya bagi memastikan turapan mempunyai rintangan gelinciran yang lebih tinggi.

“Selain itu, kita memasang alat keselamatan jalan raya seperti pemasangan ‘blinking chevron’, pemasangan ‘tiger eyes’, kamera litar tertutup (CCTV) dan pemantul cahaya di beberapa lokasi kerap berlaku kemalangan,” katanya selepas Majlis Pengagihan Bungkusan Limau Mandarin kepada pengguna LPT sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Plaza Tol Gombak, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi.

Nik Fauzi berkata, peruntukan itu turut termasuk pembelian 19 jentera baru iaitu 17 kereta peronda, tol trak dan bot bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rondaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, ANIH Berhad menawarkan diskaun tol 10 peratus kepada pengguna KLK dan LPT1 yang membuat bayaran secara elektronik (ETC) pada 8 Februari ini bermula jam 12 pagi sehingga jam 11.59 malam.

Katanya, susulan jangkaan berlaku peningkatan jumlah kenderaan, beliau menasihatkan pengguna mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan bagi melancarkan perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 7:26 AM