GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nazdy Harun


Kuala Berang: Tujuh laluan di daerah Hulu Terengganu ditutup kepada semua kenderaan susulan banjir gelombang ketiga yang melanda daerah ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, Jalan Kampung Lubuk Periuk-Kampung Felda Mengkawang ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter (m) dan ditutup sejauh 100 m kepada kenderaan ringan.

Menurutnya, Jalan Kampung Matang pula, ditenggelami banjir sedalam 0.4 m dan ditutup sejauh 100 m kepada semua kenderaan.

Katanya, Jalan Kampung Pengkalan Ajal, air melimpah sedalam 1.1 m, sejauh 300m dan ditutup kepada semua kenderaan.

"Sementara, Jalan Kampung Kuala Ping, paras air melimpah sedalam 0.5m di sepanjang 100 dan ditutup kepada kenderaan ringan.

"Jalan Kampung Jak, paras air melimpah sedalam 0.5 m dan ditutup kepada semua kenderaan sejauh 50 meter," katanya, hari ini.

Menurutnya, Jalan Kampung Felcra Pasir Pelata ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sedalam 0.4 m.

Katanya, Jalan Kampung Nibong pula paras air melimpah sedalam 0.5m dan ditutup kepada semua kenderaan.

Beliau berkata, sehingga petang ini empat kampung terjejas dan empat pusat pemindahan sementara (PPS) di buka iaitu di Balai Raya Kampung Bukit Kolam (Ajil), Kampung Pangkalan Ajal, PPSK Felcra Gunung Menerong dan Balai Raya Kampung Durian Kassim.

Menurutnya, pihak polis menasihati orang ramai melakukan perancangan terlebih dahulu bagi mengelakkan kesulitan terutama terperangkap di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 7:16 PM