Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Geng Fei Long yang aktif mengedar dadah, tumpas susulan penahanan tujuh lelaki termasuk dalang utama dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2.5 juta.

Geng itu dikatakan mensasarkan pusat hiburan dan parti liar bagi memasarkan dadah yang siap dibungkus termasuk meletakkan dalam botol minuman bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun, aktiviti yang dilakukan mereka sejak enam bulan lalu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan semua suspek berusia 25 hingga 51 tahun di sekitar Lembah Klang pada 14 Disember sehingga kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam serbuan pertama jam 1 tengah hari pada 14 Disember lalu anggota menahan dua lelaki di sebuah kediaman di Jalan Sultan Ismail, di sini.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui dadah jenis methamphetamine. Ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Soal siasat ke atas suspek membawa kepada tangkapan dua lagi suspek di tempat letak kereta di Seksyen 13 Petaling Jaya, Selangor, jam 7.05 malam hari sama dan merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 100 gram.

"Seterusnya jam 8.10 malam, pasukan dipandu arah suspek pergi ke sebuah rumah di lokasi sama. Pemeriksaan menemui dadah jenis ekstasi dianggarkan seberat 1.26 kilogram dan ketamin seberat 631 gram," katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Saiful berkata, susulan serbuan itu, polis melakukan dua lagi serbuan secara serentak di sebuah rumah di Petaling Jaya dan kereta Toyota Camry di Jalan Peel, Cheras kira-kira jam 8 malam pada 15 Disember lalu.

Menurutnya, serbuan di rumah itu membawa kepada penahanan dua suspek termasuk dalang utama dan menemui bungkusan plastik berisi dadah jenis ketamin anggaran berat 1.8 kilogram serta wang tunai RM420.

"Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah methamphetamine, selain mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah.

"Polis juga menahan seorang lelaki dalam kereta Toyota Camry dan merampas dadah disyaki Mdma seberat 5.3 kilogram dan 96 botol minuman berisi cecair dadah sama berjumlah 48 liter," katanya.

Katanya, penahanan kesemua suspek itu akhirnya membongkar tempat persembunyian dadah di sebuah rumah di Jenjarom, Banting, Selangor dan menjumpai dadah jenis ketamin seberat 36 kilogram.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 12:59 PM
DATUK Saiful Azly Kamaruddin bersama Deputi Komisioner Datuk Yong Lei Choo Timbalan (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media rampasan dadah dalam Op Jarom oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.
DATUK Saiful Azly Kamaruddin bersama Deputi Komisioner Datuk Yong Lei Choo Timbalan (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media rampasan dadah dalam Op Jarom oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD.