ARJUNAIDI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO ihsan IPK Selangor
ARJUNAIDI (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO ihsan IPK Selangor
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis berjaya menahan dalang sindiket pengedaran dadah dan merampas dadah bernilai RM7,620,900 di kawasan Ampang Jaya dan Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun itu pernah ditahan sebelum ini mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pada 21 Mei lalu, kira-kira jam 3 petang, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menangkap suspek yang memandu Mazda 6 di kawasan parkir sebuah pasar raya di Ampang.

"Polis turut merampas dua beg plastik yang mengandungi sembilan bungkusan berisi pil ecstasy dianggarkan seberat 7.32 kilogram.

"Selain itu, polis merampas dua bungkusan mengandungi ketulan disyaki ketamin dengan anggaran seberat dua kilogram. Jumlah keseluruhan rampasan serbuan pertama ini RM545,200," katanya dalam sidang media menerusi Google Meet hari ini.

Arjunaidi berkata, ujian air kencing ke atas suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah itu mendapati dia negatif.

Bagaimanapun katanya, soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di lokasi kedua iaitu sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan Petaling Jaya, jam 4.15 petang hari sama.

"Pemeriksaan di rumah terbabit, polis menemui 29 plastik masing-masing berisi satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk ketulan kristal disyaki methamphetamine dianggarkan seberat 30,165 kilogram.

"Polis juga merampas 25 bungkusan plastik hijau masing-masing ketulan disyaki ketamin dengan anggaran berat 25.87 kilogram serta 20 paket plastik lutsinar berisi pil disyaki ecstasy 72.59 kilogram.

"Polis turut menemui 1,350 kepingan aluminum foil berisi pil disyaki Erimin 5 dianggarkan seberat 3.51 kilogram. Keseluruhan rampasan serbuan kedua ini bernilai RM7,075,700," katanya.

Beliau berkata, suspek adalah dalang utama sindiket terbabit yang kembali aktif sejak enam bulan lalu malah polis yakin rangkaiannya masih ramai di luar sana.

"Siasatan diteruskan bagi mengesan mereka yang terbabit serta dari mana bekalan dadah diperolehi.

"Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran Lembah Klang malah siasatan diteruskan bagi mengesan harta benda melalui 'asset tracing' milik suspek dan sekutunya mengikut ADB (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Jumlah methamphetamine yang dirampas adalah 30,165 kilogram, pil ecstasy sebanyak 79.910 kilogram, ketamin 27.87 kilogram dan pil Erimin 5 adalah 3.51 kilogram. Jumlah dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 336,102 pengguna dalam masa sehari," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari mulai 22 hingga 28 Mei mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mengulas mengenai modus operandi sindiket terbabit, suspek dipercayai menggunakan sistem 'drop off' di kawasan parkir bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Modus operandi terkini dilakukan adalah suspek atau ahli sindiket membawa kenderaan dan diletakkan parking di mana-mana tempat parkir, kemudian kunci ditinggalkan di kawasan terbabit.

"Mereka yang berkenaan akan ambil kenderaan yang ditinggalkan itu, begitu juga urusan lain seperti bayaran dan sebagainya dibuat melalui sistem 'drop off'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 11:39 PM