ANTARA dadah yang berjaya dirampas PDRM. FOTO IHSAN PDRM
ANTARA dadah yang berjaya dirampas PDRM. FOTO IHSAN PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kuala Lumpur menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah hasil penahanan enam suspek, termasuk empat wanita warga asing, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM213,000.

Kesemua suspek ditahan pada tiga serbuan berasingan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Selasa lalu.

Ketua JSJN Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pada serbuan pertama, pihaknya menahan seorang suspek lelaki berusia 24 tahun di sebuah rumah di Sentul Impian, jam 3.30 petang.

"Pemeriksaan dalam rumah itu menemui 200 pil Eramin 5 seberat 50.4 gram (g).

"Hasil siasatan lanjut, dengan berpandukan suspek, pada jam 5.10 petang, kami ke Jalan Hang Tuah 2, Taman Salak Selatan dan menahan seorang lagi lelaki berusia 45 tahun.

"Pemeriksaan terhadap suspek kedua itu menemui 2,000 Eramin 5 seberat 508g dan wang RM3,040," katanya pada kenyataan hari ini.

Adnan berkata, soal siasat terhadap suspek kedua membawa kepada serbuan di sebuah rumah di lokasi sama, jam 5.35 petang.

Pada serbuan itu, polis menahan empat wanita warga Thailand berusia 32 hingga 38 tahun.

Pemeriksaan di rumah itu menemui methamphetamine seberat 1,033g, ketamin (2,065g) dan 1,000 pil ekstasi seberat 327g.

"Semakan mendapati, seorang daripada suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau. Kesemua suspek juga positif methamphetamine," katanya.

Kesemua suspek direman sehingga 24 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:57 PM