PELBAGAI jenis dadah dirampas hasil penahanan lima ahli sindiket pengedaran dadah dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur. FOTO ihsan PDRM
PELBAGAI jenis dadah dirampas hasil penahanan lima ahli sindiket pengedaran dadah dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur. FOTO ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan satu sindiket dadah didalangi warga tempatan dan Vietnam serta merampas dadah bernilai hampir RM400,000 dalam beberapa serbuan, Ahad lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur pada jam 4.59 petang.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, dua dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam berusia 21 hingga 38 tahun ditahan di Taman Overseas Union, di sini.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta Perodua Myvi menemui dadah sebelum menyerbu sebuah kondominium di Jalan Klang Lama yang disewa mereka.

"Polis menemui pelbagai jenis dadah iaitu serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 1.28 kilogram dan 10,000 biji pil erimin 5. Turut dirampas barang kemas dan wang tunai RM3,200," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, hasil soal siasat polis menjalankan satu lagi serbuan di sebuah kondominium di Subang Jaya, pada hari sama.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah iaitu ketamin anggaran berat 762 gram, serbuk MDMA (2.25 kilogram), 1,000 biji pil erimin 5 serta 1,000 biji pil ecstasy.

"Lelaki itu mendakwa menyewa bilik di rumah berkenaan dengan bayaran sewa RM1,370 sebulan. Polis turut merampas wang tunai RM10,600 dan kereta Honda Accord.

"Secara keseluruhan semua rampasan daripada sindiket berkenaan dianggarkan berjumlah RM457,280.80," katanya.

Katanya, ujian urin yang dilakukan mendapati seorang suspek lelaki positif dan hasil semakan dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga 29 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:36 PM