POLIS menjalankan Op Motosikal di Pekan Langkap, Teluk Intan, semalam. FOTO IHSAN POLIS
POLIS menjalankan Op Motosikal di Pekan Langkap, Teluk Intan, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Ada yang memberi alasan pergi beli makanan saja sebab itu tidak pakai topi keledar, ada pula yang mahu cepat dan tidak perasan lampu isyarat sudah bertukar merah.

Itu antara alasan diberikan pengguna jalan raya apabila ditahan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Hilir Perak yang menjalankan penguatkuasaan keselamatan jalan raya di daerah Hilir Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, melanggar lampu merah dan tidak memakai topi keledar antara kesalahan tertinggi yang dikesan dalam Op Motosikal dan Op Lampu Merah itu.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan 65 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dilakukan di pekan Langkap dan Kilometer 3 Jalan Teluk Intan-Kampung Gajah.

"Polis mengeluarkan 31 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu dan cukai jalan selepas memeriksa 40 individu dan 35 motosikal dalam Op Motosikal di sekitar pekan Langkap pada 3 petang hingga 7 malam tadi.

"Sebanyak 34 saman pula dikeluarkan dalam Op Lampu Merah pada 10 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini, dan semua saman itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dengan melanggar lampu isyarat merah mencatatkan kesalahan tertinggi, selain polis turut menyita sebuah motosikal yang diubah suai," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengesan pengguna jalan raya sering mengabaikan undang-undang lalu lintas terutama melanggar lampu isyarat di lokasi berkenaan.

"Operasi lebih tertumpu kepada kenderaan yang kebanyakannya mereka ini sering mengabaikan dan melanggar lampu isyarat merah yang boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

"Operasi juga dijalankan bagi membendung aktiviti permotoran yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 4:17 PM