Mohd Hilmie Hussin


“RUMAH dekat saja, di belakang sekolah, sebab itu tak pakai topi keledar,” begitulah kebanyakan alasan diberi ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah, ketika ditahan polis trafik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil, Melaka pagi tadi.

Tidak kurang pula ibu bapa memakai topi keledar namun anak masing-masing dibiarkan membonceng tanpa alat keselamatan itu.

Seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Tuty, 49, menghantar anak lelakinya di tingkatan satu sekolah terbabit, langsung tidak memakai topi keledar dengan alasan rumahnya berhampiran sekolah.

“Memang ini bukan contoh yang baik. Kalau saya abaikan pemakaian topi keledar, nanti anak-anak juga tak mahu pakai topi keledar,” katanya.

Sementara itu lelaki dikenali sebagai Baharin, 56, berkerja sebagai tukang kebun, meninggalkan anak lelakinya berusia 17 tahun jauh dari sekolah selepas melihat polis trafik melakukan pemeriksaan.

Dia yang membuat pusingan U akhirnya tetap ditahan polis, kerana membiarkan anaknya membonceng tanpa memakai topi keledar.

“Saya sebenarnya nak cepat, nak ‘punch card’,” katanya yang kemudian mengakui bertindak demikian kerana takut ditahan polis.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hassan Basri berkata, Op Didik di SMK Bukit Katil itu adalah yang ketiga tahun ini selepas operasi sama dilakukan kelmarin dan semalam di Paya Rumput.

“Setakat tiga hari operasi ini dijalankan, kami mengeluarkan 256 saman ke atas ibu bapa dan pelajar atas kesalahan seperti tidak memakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

“Kesalahan lain dikesan adalah tidak memiliki perlindungan insuran kenderaan, menggunakan alat komunikasi ketika memandu, melanggar lampu isyarat dan kenderaan tiada nombor pendaftaran.

“Dalam operasi ini, kita bukan hanya fokus kepada pelajar dan guru, malah anggota polis melakukan kesalahan ketika menghantar anak mereka ke sekolah turut dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, sebuah motosikal ditunggang pelajar SMK Bukit Katil, disita kerana dikesan menggunakan cukai jalan dipercayai palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 2:05 PM
SEBAHAGIAN ibu bapa ditahan kerana membiarkan anak masing-masing membonceng tanpa memakai topi keledar dan melakukan kesalahan lain. FOTO Rasul Azli Samad.
SEBAHAGIAN ibu bapa ditahan kerana membiarkan anak masing-masing membonceng tanpa memakai topi keledar dan melakukan kesalahan lain. FOTO Rasul Azli Samad.