ANGGOTA polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat melakukan pemeriksaan pada penunggang motosikal serta pemamdu kenderaan dalam Operasi Keselamatan Jalan Raya di Jalan Klang-Banting. FOTO Ihsan BSPT
ANGGOTA polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat melakukan pemeriksaan pada penunggang motosikal serta pemamdu kenderaan dalam Operasi Keselamatan Jalan Raya di Jalan Klang-Banting. FOTO Ihsan BSPT
Siraj Mohd Zaini


HANYA kerana mahu meloloskan diri daripada sekatan jalan raya, sekumpulan lelaki bermotosikal sanggup membuat pusingan berbahaya dengan ‘melompat’ pembahagi jalan di Kilometer 32, Jalan Klang-Banting, di Kuala Langat, semalam.

Meskipun berjaya mengelakkan diri daripada ditahan, tindakan tiga lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dan Honda EX5 itu boleh menyebabkan nyawa mereka melayang.

Operasi bermula 9 pagi itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, operasi selama tiga jam itu dilakukan bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Menurutnya, sebanyak 55 saman dikeluarkan kepada pemandu kenderaan serta penunggang motosikal dalam operasi berkenaan.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mempunyai lesen memandu (16), Lesen Kenderaan Motor (LKM), nombor plat (3), tidak memakai tali pinggan keledar (7) serta lain-lain kesalahan.

“Saman ini dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 50 buah motosikal dan 15 buah kereta,” katanya kepada Harian Metro.

Azizan berkata, polis memandang serius kesalahan utama yang sering kali dilakukan pengguna jalan raya seperti memandu tanpa lesen, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, melanggar lampu isyarat serta memotong di garisan berkembar.

“Polis tidak akan mengeluarkan saman bagi kesalahan utama ini yang mana mereka akan dirujuk terus ke mahkamah untuk penghakiman.

“Kesalahan ini bukan saja membahayakan diri sendiri tetapi kepada orang lain. Sebagai contoh pemandu tidak mempunyai lesen memandu, mereka juga tidak dilindungi insuran yang berkaitan dengan tuntutan sivil dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 11:20 AM