ANGGOTA polis trafik menahan seorang penunggang motosikal yang menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar ketika Operasi Utama P Hailing oleh JSPT Bukit Aman di Jalan Selayang-Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA polis trafik menahan seorang penunggang motosikal yang menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar ketika Operasi Utama P Hailing oleh JSPT Bukit Aman di Jalan Selayang-Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Seorang lelaki memberi alasan topi keledarnya dicuri menyebabkan dia menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika ditahan dalam Operasi Utama P Hailing di Kilometer 14 Jalan Selayang-Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Lelaki berusia 21 tahun itu yang patah tangan kiri memaklumkan dia dalam perjalanan dari Hospital Selayang menuju ke rumahnya di Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur selepas menerima rawatan susulan di hospital itu.

"Topi keledar saya dicuri semasa saya meletakkan motosikal di kawasan hospital untuk menerima rawatan. Saya terpaksa menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar kerana perlu bergegas balik ke rumah.

"Saya minta kebenaran abang meminjam motosikalnya untuk pergi ke hospital untuk menerima rawatan susulan selepas cedera tangan akibat jatuh di tempat kerja, baru-baru ini," katanya yang bekerja di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

Lelaki terbabit yang menunggang motosikal Honda EX5 dikenakan tiga saman atas kesalahan tidak memakai topi keledar, tiada lesen serta cukai jalan tamat tempoh.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya melakukan operasi itu di dua lokasi iaitu di Kilometer 14 Jalan Selayang-Kuala Lumpur dan Bypass Jalan Selayang-Kepong.

Beliau berkata, operasi itu dibuat ekoran pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan orang ramai mengenai penunggang motosikal terutamanya penunggang e-hailing yang melanggar lampu isyarat di lokasi terbabit.

"Sebanyak 2,800 kenderaan diperiksa di kedua-dua lokasi itu dan kami mengeluarkan 157 saman atas pelbagai kesalahan.

"Selain itu, kami turut menyita dua motosikal ditunggang warga asing, manakala dua lelaki berusia 40-an ditahan kerana memiliki dadah," katanya ketika ditemui di lokasi operasi itu, hari ini.

Seramai tujuh pegawai dan 25 anggota dari JSPT Bukit Aman dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terbabit dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, Bakri berkata, pihaknya menjalankan 1,669 operasi membabitkan motosikal sepanjang tahun lalu dan mengeluarkan sebanyak 840,733 saman atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 28,649 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan langgar lampu isyarat dan kebanyakan penunggang e-hailing memberi alasan mahu mengejar lebih banyak perjalanan untuk mendapatkan komisen.

Menurutnya, pihaknya mahu mengambil pendekatan untuk memberikan advokasi kepada penunggang e-hailing supaya mematuhi peraturan jalan raya.

"Melihat kepada statistik, penunggang motosikal adalah penyumbang tertinggi kemalangan di seluruh negara iaitu 67 peratus dengan 3,118 kematian.

"Justeru itu, kami mahu menekankan pelaksanaan operasi secara agresif yang memberi fokus kepada penunggang motosikal dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

"Pada masa sama, kami akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk menyampaikan advokasi kepada kumpulan sasaran itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 3:33 PM