SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi di Manjung, hari ini. FOTO ihsan polis
SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi di Manjung, hari ini. FOTO ihsan polis
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Hanya kerana mahu popular, menarik perhatian rakan dan mengikut trend terkini menyebabkan segelintir penunggang mengubahsuai ekzos motosikal mereka.

Selain itu, ada yang melanggar lampu isyarat merah dengan alasan mahu cepat masuk kerja.

Itu antara alasan diberikan pengguna jalan raya apabila ditahan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dalam operasi khas di tiga lokasi berasingan di sini, hari ini.

Operasi yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) Manjung itu bermula 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, melanggar lampu merah dan mengubahsuai ekzos motosikal adalah kesalahan tertinggi dikesan dalam operasi itu.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan 70 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi dilakukan di Jalan Lumut - Ayer Tawar, Sitiawan - Kayan dan Seri Manjung - Segari.

"Polis mengeluarkan 70 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memakai topi keledar, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai aksesori.

"Kesalahan melanggar lampu merah dan ubah suai ekzos mencatatkan jumlah tertinggi selepas kami memeriksa 46 motosikal dan 24 kenderaan lain.

"Selain itu, polis turut menyita 11 motosikal mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala JPJ mengeluarkan 15 saman," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, setiap pemilik kenderaan yang disita atas kesalahan ubah suai ekzos perlu memasang semula ekzos asal jika mereka mahu menuntut kenderaan disita itu.

Beliau berkata, mereka yang ditahan kerana ubah suai ekzos berusia antara 18 hingga 30 tahun dan memberi alasan hanya mahu mengikut trend dan popular di kalangan rakan, manakala untuk kesalahan melanggar lampu isyarat pula mereka memberi alasan mahu mengejar masa untuk masuk kerja.

"Pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan terutama memberhentikan kenderaan di lampu isyarat merah bagi mengelakkan daripada berlakunya kemalangan.

"Selain itu, kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik motosikal yang mengubahsuai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising dan menimbulkan rasa tidak selesa kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 8:09 PM