BARANGAN yang dipercayai digunakan tiga suspek untuk melakukan kegiatan pecah rumah dirampas polis. FOTO ihsan polis
BARANGAN yang dipercayai digunakan tiga suspek untuk melakukan kegiatan pecah rumah dirampas polis. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Tiga penjenayah dikenali sebagai 'Geng Jamil Kancil' yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah masuk di sebuah rumah sewa di Kampung Sungai Limau, di sini, ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, seorang daripada suspek ditahan Jumaat lalu manakala dua daripadanya ditahan secara berasingan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan jenayah di rumah berkenaan dan disedari penyewa rumah iaitu lelaki berusia 27 tahun itu pada jam 5.30 petang Khamis lalu.

"Mangsa menyedari beberapa barangan miliknya hilang dan jirannya memaklumkan ternampak sebuah Perodua Kancil dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Bagaimanapun mereka melarikan diri sebelum ditahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, namun pada jam 7 malam Jumaat lalu, jiran mangsa ternampak kereta sama melakukan rondaan di sekitar rumah sewa mangsa dan seorang daripadanya masuk ke dalam kawasan tanah berpagar di kediaman itu.

Berikutan itu, pengadu iaitu mangsa bersama rakannya berjaya menangkap seorang daripada tiga suspek yang mana dua daripadanya melarikan diri bersama kenderaan itu.

"Mereka kemudian membawa suspek berusia 28 tahun itu ke Balai Polis Lunas pada jam 8.28 malam dan menyerahkannya kepada polis sebelum membuat laporan.

"Hasil pemeriksaan tidak menemui barangan salah dan tangkapan semula dilakukan berikutan sangkut kes Lunas mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Azhar berkata, siasatan mendapati suspek yang juga penganggur itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.

Beliau berkata, susulan daripada itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berjaya menahan suspek kedua dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Limau, Lunas jam 10 pagi hari ini.

"Lelaki berusia 34 tahun itu berasal dari Kuantan, Pahang dan menjalankan perniagaan sendiri.

"Suspek mempunyai empat rekod kes dadah sebelum ini dan pernah dipenjara," katanya.

Azhar berkata, pihaknya turut merampas sebuah Perodua Kancil untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, pihaknya menahan suspek ketiga berusia 48 tahun yang disyaki ketua kumpulan itu dalam serbuan di rumahnya di Jalan Teratak Damai, Kampung Sungai Limau, Lunas di sini jam 10.45 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui selaras senapang angin buatan sendiri yang disorokkan di dalam biliknya dan dirampas untuk membantu siasatan.

"Suspek yang juga pekebun itu didapati mempunyai empat rekod jenayah termasuk dadah dan pernah dipenjarakan sebelum ini.

"Selain senapang angin berukuran 13 sentimeter itu, kami turut merampas sebuah tukul besi dan spanar untuk membantu siasatan," katanya.

Azhar berkata, siasatan lanjut mendapati, kesemua suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak Mac lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu kira-kira tujuh bulan lalu.

Beliau berkata, mereka juga disyaki terbabit dalam lapan kes pecah rumah dan beberapa kejadian curi kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Bagi lapan kes pecah rumah yang dilakukan mereka sebelum ini membabitkan kerugian berjumlah antara RM80,000 hingga RM100,000 dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan barangan yang dicuri mereka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk kes pecah rumah dan Seksyen 36 Akta Senjata Api berikutan rampasan senapang angin buatan sendiri itu," katanya.

Azhar berkata, ketiga-tiga mereka akan direman esok untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 8:34 PM