GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Seorang wanita berusia 34 tahun yang terjun dari sebuah jambatan di Jalan Dato Mohd Sidin dekat sini, semalam diselamatkan orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pasukan bomba menerima panggilan mengenai insiden wanita terjun dari jambatan pada 6.58 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati laporan berkenaan benar berdasarkan kenderaan serta barangan milik mangsa ditinggalkan di lokasi kejadian.

"Selepas pencarian mangsa di lokasi kejadian gagal, Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka di Pangkalan Batu dan anggota bertugas meminta bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Shah Alam.

"Bagaimanapun, keluarga mangsa kemudian tampil memaklumkan kepada pasukan bomba bahawa mangsa sudah diselamatkan orang awam dan berada di rumah.

"Komander operasi Kota Raja dan anggota EMRS serta pihak polis kemudian ke rumah mangsa di Taman Klang Jaya dan mendapati wanita berkenaan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk urusan selanjutnya dan PKB di Pangkalan Batu ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 1:40 PM