ANGGOTA bomba menenangkan pelajar yang cuba terjun asrama.
ANGGOTA bomba menenangkan pelajar yang cuba terjun asrama.
Mohd Azam Shah Yaacob

Subang Jaya: Penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini, yang cuba membunuh diri berjaya diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam kejadian jam 12.45 tengah hari semalam.

Remaja perempuan berusia 18 tahun diselamatkan apabila pegawai dan anggota terbabit dalam operasi itu ‘menangkapnya’ selepas 10 minit memujuk.

Ketua BBP Subang Jaya Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang perempuan cuba membunuh diri pada jam 12.47 tengah hari dan dia bersama seorang pegawai kanan, penyelia serta lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika tiba di lokasi pada jam 12.52 tengah hari, pasukannya menemui seorang perempuan duduk di bahagian atas pendingin hawa di tingkat tiga hostel IPTS berkenaan.

“Sebaik tiba, kami mendapati ada perempuan duduk di bahagian atas penghawa dingin dalam keadaan terdedah pada bahaya terjatuh ke bawah, dua pasukan kemudian dibentuk.

“Satu pasukan memujuk supaya wanita itu tidak terjun manakala satu lagi pasukan ditugaskan untuk menangkapnya,” katanya.

Syed Shahril berkata, selama 10 minit memujuk, pasukannya kemudian berjaya menangkap remaja itu yang berada dalam keadaan leka serta menariknya ke tempat selamat.

“Kita tidak tahu mengapa dia cuba terjun, namun ketika diselamatkan dia dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.

“Remaja itu diserahkan kepada polis sebaik diselamatkan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:53 AM