WANITA yang diselamatkan suaminya selepas bertindak terjun laut di KM1.0 Jambatan Pulau Pinang. FOTO ihsan bomba
WANITA yang diselamatkan suaminya selepas bertindak terjun laut di KM1.0 Jambatan Pulau Pinang. FOTO ihsan bomba
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang lelaki mempertaruhkan nyawa terjun ke laut di Kilometer 1.0 Jambatan Pulau Pinang arah pulau, di sini, petang tadi, demi menyelamatkan isterinya.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, wanita berusia 45 tahun dipercayai berhenti di jambatan sebelum terjun meninggalkan suami serta anaknya.

Bagaimanapun suami yang terkejut dengan perbuatan isterinya itu turut terjun bagi menyelamatkan wanita terbabit sebelum menunggu pasukan menyelamat tiba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 petang berhubung insiden seorang wanita terjun ke laut.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

"Sebaik tiba didapati seorang wanita terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang.

"Mangsa diselamatkan suaminya yang turut terjun ke laut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kemudian turun ke kawasan wanita dan suaminya berada dengan menggunakan kaedah 'rappelling' sebelum memujuk dan menenangkan mangsa.

"Selepas itu, mangsa dan suaminya dibawa ke jeti Batu Uban menggunakan bot nelayan diiringi pasukan polis Marin.

"Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung punca wanita berkenaan bertindak sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 8:18 PM