Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Wanita terkejut apabila menyedari dirinya diintai seorang lelaki ketika sedang mandi di rumah sewanya Taman Setia Indah di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi itu, wanita berusia 23 tahun berkenaan sedang mandi dalam tandas rumah sewanya terkejut apabila mendapati ada orang mengintainya melalui tingkap tandas yang sedikit terbuka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, wanita berkenaan kemudiannya membuat laporan polis pada 2.26 petang hari yang sama.

Menurutnya, mangsa menyewa di taman berkenaan sejak dua bulan lalu dan mendakwa kejadian seperti itu berlaku kali kedua sejak dia tinggal di situ.

"Mangsa mengesyaki suspek adalah penyewa rumah jirannya kerana ternampak lelaki itu berada di kawasan luar rumah selepas kejadian berkenaan.

"Mangsa juga berjaya merakam pergerakan suspek menggunakan telefon bimbitnya tetapi rakamannya tidak jelas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis kini mengesan lelaki berusia 24 tahun itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 8:42 PM